Model personal merupakan salah satu kumpulan model pengajaran. Sememangnya tidak dapat kita nafikan bahawa terdapat pelbagai perspektif yang berbeza-beza menjadi inti pandangan seseorang mengenai apa yang dilihat tentang perihal dunia ini. Setiap individu melihat sesuatu secara berlainan berasaskan pengalaman, persekitaran dan hubungan interpersonal masing-masing. Secara jelasnya, kita melihat serta mentafsirkan sesuatu peristiwa secara berlainan. Hal ini kerana, kita menggunakan kanta yang berbeza-beza untuk mentafsirkan peristiwa yang kita alami, menterjemah bahasa yang kita dengar dan mengubah maklumat yang kita terima. Hal inilah yang menjadi pandangan kumpulan Model Personal.
Berdasarkan sumber buku Murid dan Alam Belajar untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan olehChoong Lean Keow telah menjelaskan bahawa model personal adalah model yang berpegang kepada unsur keperibadian individu. Dalam menggunakan model personal ini, kita boleh berpandukan kepada teknik-teknik bukan mengarah semasa kita membimbing mereka, menggunakan kaedah synectics(sinektik) untuk meningkatkan kreativiti mereka, dan perjumpaan kelas bagi membina pembelajaran komuniti.
Maka model personal sememangnya banyak berfokuskan kepada konsep-konsep yang mana juga diutamakan oleh ahli humanistik, iaitu konsep kendiri dan harga diri; arah kendiri yang positif dan sifat berdikari; kreativiti dan sifat ingin tahu dan perkembangan domain afektif dan emosi. Di dalam Model Personal terdapat tiga model-model. Model-model tersebut adalah seperti yang berikut:
i)Pengajaran fasilitatif. (Berasaskan kaedah yang dipelopori oleh Carl Rogers dan berpusatkan murid)
ii)Peningkatan kesedaran kendiri. (Bertumpu kepada mengembangkan kesedaran dan penunaian potensi masing-masing.)
iii)Synectics. (Memberi perhatian kepada perkembangan dan aplikasi kreativiti.)
Ketiga-tiga model ini telah dicipta bagi membentuk pendidikan agar membolehkan kita lebih memahami diri kita, bertanggungjawab atas pendidikan kita dan seterusnya mencapai tahap perkembangan yang jauh melebihi tahap maksimum kearah kualiti hidup yang tinggi. Usaha inilah yang akan diterajui oleh setiap model-model yang terkandung dalam kumpulan Model Personal. Untuk lebih jelas lagi, kesemua model tersebut memberi penekanan kepada perspektif bersifat individu serta turut menggalakkan sifat berdikari yang produktif. Hal ini kerana nasib masing-masing akan lebih terjaga selain dapat meningkatkan kesedaran kendiri.
Sehubungan dengan ini, kumpulan model ini sesuai digunakan oleh guru bagi mengubahsuai persekitaran pembelajaran murid-murid kita. Langkah ini dapat dilaksanakan sekiranya guru cuba meningkatkan kualiti peribadi serta perasaan murid dan mewujudkan satu suasana pengajaran dan pembelajaran berasaskan komunikasi yang berkesan sesama guru dengan murid serta murid dengan murid. Namun, penulis hanya akan menumpukan kepada Model Pengajaran Fasilitatif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan