Ilmu itu ibarat hujan yang menyusup ke sarwa dunia.. yang berderia akan sigap menadah.. yang peka akan setia mengamati.. kerana ilmu itu sukar dimiliki.. andai hati tidak menerima dan memberi...


Selasa, 21 September 2010

ANALISIS SWOT MODEL PENGAJARAN FASILITATIF

Setiap model pengajaran mempunyai kekuatan dan kelemahan serta ancaman dan peluangnya yang tersendiri. Model Pengajaran Fasilitatif juga tidak lari daripada ciri-ciri ini. Penulis sendiri telah mengkaji model ini sebagai satu langkah untuk memahami perihal model ini dengan lebih mendalam lagi. Penulis akan menerangkan kekuatan, kelemahan, ancaman dan juga peluang bagi model ini.


KEKUATAN

Berkata tentang kekuatan model ini, antaranya model ini memperlihatkan pakatan antara guru dan murid. Hal ini dapat dilihat apabila guru memainkan peranannya sebagai kaunselor. Secara tidak langsung masa interaksi antara guru dan murid akan lebih banyak berlaku. Situasi ini akan menggalakkan hubungan yang lebih erat dan rapat antara guru dan murid selain guru itu akan lebih cakna terhadap potensi muridnya sendiri.

Selain itu, model ini juga mempunyai kekuatan apabila guru memainkan peranan untuk membimbing murid ke arah memahami bagaimana murid boleh memainkan peranan utama dalam pembelajaran mereka. Melalui kekuatan ini, murid akan lebih bersemangat untuk memajukan diri dalam pembelajaran mereka selain berusaha untuk memperoleh pencapaian yang cemerlang.

Model ini juga menekankan perlunya bimbingan guru terhadap murid ke arah pembentukan perasaan empati terhadap orang lain dalam persekitaran pembelajaran. Melalui penekanan ini, murid akan dapat melihat dan memahami perasaan orang lain dan lebih peka terhadap emosi individu di sekeliling khususnya rakan-rakannya. Sebagai contoh, ketika murid melibatkan diri dalam aktiviti berkumpulan yang memerlukan perbincangan, murid akan lebih bersedia untuk menerima pendapat orang lain dan risiko untuk wujudnya sikap egosentrik dalam diri murid dapat dibendung.

Murid juga akan lebih memahami bagaimana untuk menerima teguran serta mengakui kelemahan dan kesilapan yang dilakukan tanpa menyalahkan individu lain. Selain itu, murid juga akan lebih memahami perluanya kerjasama dalam sesuatu aktiviti berkumpulan kerana aktiviti sebegini melibatkan interaksi dan emosi orang rakan-rakannya. Murid juga akan lebih memahami perasaan rakan-rakannya sekiranya gagal untuk menjawab soalan tanpa memperlekehkan atau mengejek rakannya itu.

KELEMAHAN

Model Pengajaran Fasilitatif terdiri daripada pendekatan yang hanya untuk membentuk dan menyepadukan aspek emosi serta intelek dalam melahirkan personaliti yang seimbang. Melalui pendekatan yang digunakan ini, didapati model ini tidak menitik beratkan aspek jasmani, dan rohani. Jika ada sekalipun, mungkin hanya secara tidak langsung walhal aspek-aspek ini merupakan elemen yang juga penting bagi melahirkan individu yang seimbang selain emosi dan intelek. Tambahan pula, murid pada zaman sekarang sememangnya digalakkan menguasai JERI kerana ia merupakan tuntutan pada zaman modenasi kini. Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan sendiri telah menggariskan matlamatnya untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Dari segi P&P yang berlaku juga akan terdapat sedikit kelemahan. Hal ini kerana, guru akan terbatas untuk melaksanakan aktiviti P&P kerana menurut model ini, guru hanya perlu menekankan aspek intelek dan emosi sahaja. Oleh itu, P&P akan menjadi kurang menarik dan membosankan. Hal ini kerana apabila guru seringkali menerapkan kecerdasan pelbagai seperti visual spatial. kinestatik yang lebih kepada aspek jasmani, kerohanian yang memperlihatkan aspek rohani, yang merupakan elemen kemahiran bernilai tambah yang mampu menjadikan sesuatu P&P itu lebih menarik dan berkesan.

ANCAMAN

Dalam model ini, guru diperlihatkan sebagai individu yang sangat memainkan peranan besar sebagai kaunselor dalam aktiviti P&P. Merujuk kepada buku Siri Pendidikan Guru, guru mewujudkan pakatan dengan pelajar bertujuan untuk membimbing dan membantu mereka sepanjang penyelesaian tugasan dan masalah. Risiko yang dapat dikesan ialah, sekiranya murid sudah terbiasa dengan bimbingan yang berlebihan sepanjang melaksanakan tugasan, murid akan berasa hilang arah dan panduan sekiranya guru membiarkan mereka untuk melakukan tugasan pada sesuatu masa. Tidak dapat dinafikan bahawa,pendekatan belajar bersama guru sangat bagus bagi membimbing murid. Akan tetapi, jika terlalu dibimbing sifat kebergantungan murid kepada guru akan berlebihan. Ini akan membawa kepada beberapa impak negatif seperti akan membantutkan proses pengajaran dan pembelajaran murid.

Dalam penggunaan model personal, kandungan dan aktiviti tidak dipreskripsi, tetapi ditentukan oleh pelajar apabila bertemu dan berinteraksi dengan guru. Maka model non-directive ini bergantung pada faktor semulajadi dan bukan ditentukan oleh kesan pengajaran. Kesan pengajaran amat bergantung pada kejayaan pemupukan perkembangan diri pelajar. Oleh itu, guru perlu menyediakan suatu iklim sosial yang mengizinkan pelajar meluahkan perasaan dan bebas untuk mengekspresi perasaan. Di sinilah pelajar perlu diberikan peluang untuk meluahkan perasaan dalam perbincangan individu atau kumpulan. Selain itu, implikasi apabila menggunakan teknik atau model Synectics dalam pengajaran ialah murid-murid akan perlu mengikuti satu siri bengkel sehingga mereka berupaya untuk mengaplikasi prosedur-prosedur tertentu secara individu dan kumpulan koperatif.

PELUANG

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa, model pengajaran personal ini sangat membantu murid untuk memantapkan kemahiran interaksi sesama mereka. Hal ini kerana, banyak model yang lebih bertumpu pada kemahiran kognitif atau fizikal sahaja, maka sedikit sebanyak kemahiran interaksi ini telah diabaikan. Melalui model pengajaran ini, murid dapat berinteraksi dengan lebih terbuka. Ini akan membantu murid mencambahkan pengetahuan mereka secara tersusun iaitu melalui perkataan. Ramai murid sekarang yang hanya bijak di atas kertas sahaja. Mereka sangat bertumpu pada teori sesuatu subjek itu sahaja. Hatta, ada juga murid yang aktif di padang tetapi tidak dapat berkomunikasi dengan sempurna. Maka, model pengajaran personal ini sebenarnya telah membuka peluang kepada setiap individu murid untuk mengubah cara mereka.

Disamping itu, melalui model pengajaran personal ini murid sebenarnya berpeluang untuk meneroka bagi meningkatkan kemampuan diri sendiri. Murid dapat menentukan cara pembelajaran mereka sendiri. Model personal dalam pengajaran dan pembelajaran sangat menekankan individu sebagai insan yang unik maka seorang guru akan dicabar untuk membentuk personaliti murid yang berintegrasi, penuh keyakinan, dan kompeten. Matlamat ini adalah untuk membantu setiap pelajar bertanggungjawab terhadap perkembangan diri dan berjaya mencapai penghargaan diri serta keharmonian kendiri. Maka, adalah penting untuk guru membentuk serta menggabungkan aspek intelek dengan emosi demi melahirkan suatu personaliti yang seimbang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan