Ilmu itu ibarat hujan yang menyusup ke sarwa dunia.. yang berderia akan sigap menadah.. yang peka akan setia mengamati.. kerana ilmu itu sukar dimiliki.. andai hati tidak menerima dan memberi...

Selasa, 21 September 2010

MODEL PENGAJARAN

Apakah yang dimaksudkan dengan Model Pengajaran?

Terlebih dahulu, cuba anda jelaskan maksud ‘model’? Merujuk kepada konteks kurikulum, ‘model’ dikatakan sebagai satu entiti yang mengandungi beberapa komponen bagi membantu mencapai matlamat pendidikan yang diharapkan.

Dan apakah pula yang dimaksudkan dengan pengajaran? Pengajaran pula ditakrifkan sebagai penyampaian maklumat dalam pelbagai situasi pendidikan. Secara amnya, model pengajaran merupakan satu perihalan persekitaran pengajaran dan pembelajaran. Model-model pengajaran juga sebenarnya merupakan model pembelajaran. Dengan lebih jelas lagi, model pembelajaran merupakan satu perihalan yang dijadikan panduan oleh guru untuk merancang kurikulum khususnya selain merangka kursus dan unit pengajaran serta menyediakan bahan-bahan pengajaran seperti program multi-media serta pengajaran berpandukan komputer, lembaran-lembaran kerja dan sebagainya. Namun begitu, model ini haruslah bersesuaian dengan pelbagai situasi pengajaran dan pembelajaran termasuk sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi.

Selain itu, model ini juga haruslah bersesuaian atau harus diubahsuai dengan gaya pembelajaran murid-murid serta kehendak kandungan mata pelajaran yang berkenaan. Terdapat empat kumpulan model pengajaran yang seringkali dijadikan panduan guru iaitu Model Pemprosesan Maklumat, Model Behavioral, Model Sosial dan Model Personal. Namun, selanjutnya penulis hanya akan berkongsi maklumat tentang perihal Model Personal sahaja.


Model Pengajaran.


Guru haruslah bijak memilih model pengajaran yang sesuai.



MODEL PENGAJARAN PERSONAL

Model personal merupakan salah satu kumpulan model pengajaran. Sememangnya tidak dapat kita nafikan bahawa terdapat pelbagai perspektif yang berbeza-beza menjadi inti pandangan seseorang mengenai apa yang dilihat tentang perihal dunia ini. Setiap individu melihat sesuatu secara berlainan berasaskan pengalaman, persekitaran dan hubungan interpersonal masing-masing. Secara jelasnya, kita melihat serta mentafsirkan sesuatu peristiwa secara berlainan. Hal ini kerana, kita menggunakan kanta yang berbeza-beza untuk mentafsirkan peristiwa yang kita alami, menterjemah bahasa yang kita dengar dan mengubah maklumat yang kita terima. Hal inilah yang menjadi pandangan kumpulan Model Personal.

Berdasarkan sumber buku Murid dan Alam Belajar untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan olehChoong Lean Keow telah menjelaskan bahawa model personal adalah model yang berpegang kepada unsur keperibadian individu. Dalam menggunakan model personal ini, kita boleh berpandukan kepada teknik-teknik bukan mengarah semasa kita membimbing mereka, menggunakan kaedah synectics(sinektik) untuk meningkatkan kreativiti mereka, dan perjumpaan kelas bagi membina pembelajaran komuniti.

Maka model personal sememangnya banyak berfokuskan kepada konsep-konsep yang mana juga diutamakan oleh ahli humanistik, iaitu konsep kendiri dan harga diri; arah kendiri yang positif dan sifat berdikari; kreativiti dan sifat ingin tahu dan perkembangan domain afektif dan emosi. Di dalam Model Personal terdapat tiga model-model. Model-model tersebut adalah seperti yang berikut:


i)Pengajaran fasilitatif. (Berasaskan kaedah yang dipelopori oleh Carl Rogers dan berpusatkan murid)

ii)Peningkatan kesedaran kendiri. (Bertumpu kepada mengembangkan kesedaran dan penunaian potensi masing-masing.)

iii)Synectics. (Memberi perhatian kepada perkembangan dan aplikasi kreativiti.)


Ketiga-tiga model ini telah dicipta bagi membentuk pendidikan agar membolehkan kita lebih memahami diri kita, bertanggungjawab atas pendidikan kita dan seterusnya mencapai tahap perkembangan yang jauh melebihi tahap maksimum kearah kualiti hidup yang tinggi. Usaha inilah yang akan diterajui oleh setiap model-model yang terkandung dalam kumpulan Model Personal. Untuk lebih jelas lagi, kesemua model tersebut memberi penekanan kepada perspektif bersifat individu serta turut menggalakkan sifat berdikari yang produktif. Hal ini kerana nasib masing-masing akan lebih terjaga selain dapat meningkatkan kesedaran kendiri.



Murid digalakkan untuk berdikari.

Sehubungan dengan ini, kumpulan model ini sesuai digunakan oleh guru bagi mengubahsuai persekitaran pembelajaran murid-murid kita. Langkah ini dapat dilaksanakan sekiranya guru cuba meningkatkan kualiti peribadi serta perasaan murid dan mewujudkan satu suasana pengajaran dan pembelajaran berasaskan komunikasi yang berkesan sesama guru dengan murid serta murid dengan murid. Namun, penulis hanya akan menumpukan kepada Model Pengajaran Fasilitatif.



PENGASAS MODEL PERSONAL


CARL ROGERS (1902-1987)


Latar Belakang

Carl Rogers merupakan seorang tokoh dan juga pelopor bagi Model Pengajaran Fasilitatif. Beliau telah dilahirkan pada 8 Januari 1902 di Oak Park, Illinois Chicago dan merupakan anak keempat daripada enam adik-beradik. Menyentuh tentang latar belakang pendidikan beliau, pada usia pra sekolah lagi beliau sudah mahir membaca dan disebabkan ini beliau pun memulakan pendidikan formal di Gred Dua. Asuhan dan didikan di rumah yang amat menekankan kepada unsur agama telah menjadikan Rogers seorang yang berdikari dan berdisiplin.

Pada mulanya beliau mula mengorak langkah menceburkan diri dalam bidang pertanian di Universiti Wisconsin dan kemudiannya tertarik untuk menekuni bidang sejarah dan agama. Dua tahun kemudian, beliau melanjutkan pelajaran di Kolej Guru, Universiti Columbia dan telah memperoleh Ijazah Sarjana Sastera pada tahun 1928 dan Doktor Falsafah pada tahun 1931. Namun akhirnya, beliau telah berpindah kepada bidang psikologi kerana merasakan beliau lebih layak mempelajari bidang tersebut.

Beliau juga telah melibatkan diri dalam Persatuan Mencegah Keganasan Terhadap Kanak-kanak di Rochester Socity, New York bagi mencegah kekerasan terhadap anak. Komitmen yang baik yang telah diberikan oleh beliau telah melayakkan dirinya dilantik sebagai Pengarah Persatuan tersebut pada tahun 1930. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1987.


Sumbangan

Semasa melibatkan diri dalam Persatuan Mencegah Keganasan Terhadap Kanak-kanak, Rogers telah berjaya menghasilkan buku pertama beliau yang berjudul, The Clinical Treatment of the Problem Child (1939). Hasil penerbitan buku ini, beliau telah diberi gelaran profesor di Ohio State pada tahun 1940. Buku kedua beliau pula bertajuk Counseling dan Psychotherapy : Newer Concepts in Practice yang menekankan kepentingan bagi klien mewujudkan hubungan atau rapo dengan seorang terapis yang prihatin dan bersifat terbuka. Menurut Rogers, hubungan sedemikian dapat membantu klien untuk mengatasi masalah yang dihadapi serta memperoleh celik akal agar berupaya menstruktur semula hidupnya.

Pada tahun 1945, Rogers telah mendirikan sebuah pusat kaunseling di Universiti Chicago. Berdasarkan pengalaman beliau di pusat tersebut, beliau berjaya menerbitkan karya beliau yang bertajuk Client Centered Therapy pada tahun 1951. Sepanjang hayat hidup beliau, Rogers banyak keluar negara untuk berkongsi dan menyebarkan ilmu mengenai pendekatan pemusatan individu. Antara tahun 1915 hingga 1980, beliau telah mengendalikan beberapa bengkel bersiri bersama anak perempuan beliau, Natalie Rogers. Antaranya termasuklah pertumbuhan kendiri, perubahan sosial, komunikasi, silang budaya dan sebagainya. Lawatannya yang terakhir adalah ke Russia semasa umurnya 87 tahun. Ketika di sana, beliau telah memberi ceramah serta menjai fasilitator bagi bengkel pengalaman eksperiental yang berfokuskan kepada komunikasi dan kreativiti. Sehingga saat kematian beliau yang mengejutkan, Rogers masih terus aktif dalam bidang penulisan serta masih giat mengendalikan sesi-sesi terapi berasaskan pendekatan pemusatan individu.


Anugerah yang Diterima

Atas sumbangan beliau dalam bidang psikoterapi, kauseling dan psikologi, Rogers telah diberikan anugerah Award for Distinguished Professional Contributions to Psycology oleh Persatuan Psikologi Amerika (APA). Di samping itu, beliau telah terpilih untuk menerima anugerah “ Ahli Humanis Tahun 1964” oleh Persatuan Humanis Amerika. Menjelang penghujung hayat beliau, Rogers telah dicalonkan untuk anugerah Nobel Prize atas jasa beliau terhadap konflik antara kumpulan nasional di Afrika Selatan dan Ireland Utara. Nama Rogers berada pada kedudukan keenam dalam senarai nama ahli psikologi abad ke-20 yang terkenal.



KONSEP MODEL PENGAJARAN FASILITATIF

Model tidak direktif (non-directive) atau Model Fasilitatif oleh Carl Rogers menggambarkan falsafah dan teknik pengajaran model personal. Sebelum itu, ingin dijelaskan di sini bahawa ‘non-directive’ yang di maksudkan di sini ialah tanpa bantuan guru. Model Pengajaran Fasilitatif ini merupakan pandangan Carl Rogers dan tokoh kaunseling yang lain.

Secara konsepnya, model ini ingin membentuk satu komuniti pelajar yang mempunyai disiplin diri serta mempunyai kesedaran peribadi yang tinggi. Rogers (1982) dan beberapa orang penyokong model fasilitatif tidak direktif percaya bahawa manusia akan berkembang dengan perhubungan manusia yang positif. Dalam pengajaran, seharusnya didasarkan pada konsep-konsep bidang pelajaran, proses berfikir atau sumber-sumber intelektual yang lain. Menurut model ini, guru dianggap sebagai seorang fasilitator dan membantu muridnya menjelajah idea-idea selain menggalakkan pertumbuhab dan perkembangan murid.

Oleh itu, pengajaran yang ditekankan dalam pembelajaran murid adalah dengan berfokuskan hubungan dengan manusia berbanding pengajaran konsep mata pelajaran. Rogers menggunakan terapi sebagai cara pengajaran.

Dengan lebih ringkas lagi, konsep model pengajaran fasilitatif ialah :

1) Manusia akan berkembang dengan perhubungan manusia yang positif.

2) Fokuskan hubungan manusia berbanding pengajaran konsep mata pelajaran.

3) Menggunakan terapi sebagai cara pengajaran.

4) Guru dianggap sebagai kaunselor.

5) Menekankan pakatan antara murid dengan guru.

5)Guru membimbing murid memainkan peranan dalam pembelajaran.

6) Guru bantu murid mengarah diri sendiri demi mencapai matlamat.

7) Guru memberi maklum balas tentang kemajuan murid.

8) Guru membantu dalam menyelesaikan masalah.



MAKLUMAT LENGKAP MENGENAI MODEL PENGAJARAN FASILITATIF

Bagi model ini, guru dianggap sebagai fasilitator atau kaunselor, di mana penekanan diberikan terhadap pakatan antara guru dan murid. Oleh itu, guru hendaklah mempunyai hubungan yang baik dengan murid. Guru memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar ke arah memahami bagaimana pelajar boleh memainkan peranan utama dalam pembelajaran mereka. Antaranya, guru membantu pelajar mengarah diri masing-masing demi pencapaian matlamat kendiri. Dalam proses perkembangan diri, guru memberikan maklum balas tentang kemajuan diri dan membantu pelajar menyelesaikan masalah jika ada. Yang penting ialah guru mewujudkan pakatan dengan pelajar bertujuan membimbing dan membantu mereka sepanjang penyelesaian tugas dan masalah.



Hubungan yang baik antara guru dan murid hendaklah diwujudkan.



TUJUAN MODEL PENGAJARAN FASILITATIF

Mengikut Joyce et al., (2002), antara tujuan Model Pengajaran Fasilitatif ialah :

1) Menghala tuju murid ke arah kesihatan mental dan emosi yang lebih tinggi dengan membentuk keyakinan kendiri, penghargaan diri yang realistik dan perasaan empati terhadap orang lain.

2) Meningkatkan bahagian pendidikan yang menekankan keperluan dan aspirasi murid, di mana setiap murid diambil sebagai pakatan untuk menentukan apa dan bagaimana murid akan belajar.

3) Membentuk jenis pemikiran kualitatif yang khusus seperti kreativiti dan ekspresi peribadi.

Sebagaimana yang termaktub dalam pengajaran mengikut Rogers, pertemuan dengan pelajar harus wujud suatu persekitaran yang penuh dengan kasih sayang, keyakinan, empati dan saling memahami. Guru akan membantu murid memahami bagaimana menghadapi tugasan serta bagaimana menuju ke arah penyempurnaan kendiri.

Proses pembelajaran sebegini bermula dengan guru membantu murid memperjelas masalah. Kemudian, murid dibantu ke arah bertanggungjawab terhadap tingkah laku untuk menyelesaikan masalah. Guru juga akan membantu murid mencuba dan membuat refleksi terhadap keputusan yang dibuat dalam percubaan tersebut. Di samping itu, murid dibimbing ke arah pembentukan perasaan empati terhadap orang lain dalam persekitaran pembelajaran.

Pengajaran fasilitatif cenderung bersifat berfokus kepada murid di mana guru berusaha untuk melihat sesuatu perkara sebagaimana murid melihatnya. Hal ini akan menciptakan suasana komunikasi yang empati di mana pengendalian diri murid dapat dipupuk dan dikembangkan.

Selain itu, guru juga berperanan sebagai benevolent after ego di mana guru sedia menerima apa jua perasaan dan pemikiran murid. Di sini secara langsung dapat dilihat bahawa guru lebih banyak berkomunikasi dengan murid dan hubungan yang positif dapat dibentuk.


TEKNIK YANG DIGUNAKAN

Teknik utama yang digunakan bagi mengembangkan hubungan yang fasilitatif adalah dengan wawancara bukan-direktif (non-directive) iaitu sekurang-kurangnya rangkaian pertemuan antara guru dengan murid. Semasa mengadakan sesi wawancara, guru meletakkan dirinya sebagai kolaborator di dalam proses eksplorasi diri murid dan penyelesaian masalah. Wawancara sendiri direka bagi menumpukan kepada keunikan individu dan kepentingankehidupan emosional pada semua aktiviti manusi. Walaupun teknik wawancara dipinjam daripada kaunseling, namun teknik ini tidak sama dalam ruangan kelass kerana berada pada situasi klinik (penyembuhan).

Menurut Carl Rogers, suasana wawancara terbaik mempunyai empat peringkat, antaranya ialah ;

1)Guru menunjukkan kehangatan dan perhatian.

2)Hubungan kaunseling dicirikan oleh rasa permisif yang ditunjukkan oleh ekspresi.

3)Murid tidak mengekspresikan pendapatkan, namun dalam batasan bahawa ia tidak bebas untuk megendalikan guru atau melakukan gerak hatinya dnegan tindakan-tindakan yang tidak dibenarkan.

4)Hubungan kauseling bersifat bebas daripada tekanan.


FASA-FASA MODEL PENGAJARAN FASILITATIF

Terdapat lima fasa dalam menggunakan Model Penajaran Fasilitatif. Dengan mengikut fasa-fasa tersebut, guru dapat menghasilkan pengajaran yang baik. Jadual di bawah menunjukkan model tersebut.



Fasa-fasa Model Pengajaran Fasilitatif


Pendekatan non-directive sangat membantu kerana melaluinya terdapat cara-cara yang paling efektif dalam mengungkap emosi yang mendasari suatu masalah dengan mengikut pola perasaan murid ketika mereka dibebaskan untuk berekspresi. Bukannya diminta untuk memberikan soalan langsung, guru akan cenderung memilih untuk membiarkan pelajar untuk mengikuti aliran pemikiran dan perasaan. Jika pelajar mengekspresikan dirinya secara bebas, maka masalah dan emosi yang mendasarinya akan muncul. Proses ini disokong dengan refleksi perasaan pelajar, yang oleh kerananya akan membawa mereka ke dalam kesedaran dan tumpuan yang lebih tajam.

Hal ini merupakan kesulitan terbesar bagi kita kerana kita lebih terbiasa dengan isi apa yang dikatakan seseorang berbanding sikap emosional mereka. Tidak seperti jenis hubungan guru-pelajar lain, kaunseling bukan-direktif biasanya melihat tiga sumber masalah pelajar, iaitu:

· Perasaan saat ini

· Perasaan yang menyimpang

· Alternatif yang tidak tereksplorasi yang disebabkan oleh reaksi emosi kepada mereka


APLIKASI

Pengajaran non-direktif mungkin digunakan untuk beberapa jenis situasi permasalahan. Misalnya bagi situasi permasalahan personal, sosial, dan akademik. Terdapat sebuah kes berkaitan dengan masalah personal,di mana individu meneroka perasaannya tentang dirinya sendiri. Bagi masalah sosial, individu akan meneroka perasaannya tentang hubungannya dengan yang lain, dan menyiasat bagaimana perasaannya tentang dirinya sendiri mungkin mempengaruhi hubungan - hubungan ini. Sebliknya pula bagi masalah akademik, individu akan meneroka perasaannya tentang kompetensi dan ketertarikannya. Bagaimanapun, pada masing - masing kes, dapatan kes bagi masalah personal lebih baik berbanding dengan luaran. Ini dibuktikan kerana permasalahan berkaitan situasi personal ini lebih berpusat pada perasaan yang dimiliki individu itu sendiri, serta pengalaman, wawasan, dan penyelesainnya.

Untuk menggunakan Model Pengajaran non-direktif secara berkesan, seorang guru harus mempunyai keinginan untuk menerima bahawa seorang murid dapat memahami akan dirinya dan kehidupannya sendiri maka guru tidak perlu berusaha untuk menghakimi, menasihati, menenangkan, atau membesarkan hati pelajar malah guru tidak juga tidak perlu berusaha untuk mendiagnosis permasalahan. Tuntasnya, dalam model ini, guru hanya menentukan fikiran dan perasaan personal sementara dan merefleksikan fikiran dan perasaan yang dimiliki pelajar. Sebenarnya, dengan mengaplikasikan kaedah ini, guru telah menyampaikan pemahaman yang mendalam dan menerima perasaan yang dimiliki pelajar.

Roger turut menyimpulkan bahawa terdapat sesetengah keadaan yang sangat sukar untuk merasakan perspektif yang dimiliki pelajar, khususnya jika pelajar bingung. Strategi yang sering digunakan untuk mengatasi masalah ini ialah guru hanya akan bekerja jika guru memasukkan dunia pemahaman pelajar dan meninggalkan di belakang rujukan tradisional telah ketinggalan zaman. Tidak dapat dinafikan bahawa untuk mengembangkan sebuah kerangka rujukan dalaman tidaklah mudah pada awalnya, akan tetapi hal ini perlu jika guru memahami pelajar, tidak pelajarnya saja. Salah satu pentingnya kegunaan pengajaran non-direktif terjadi ketika sebuah kelas menjadi membosankan dan guru termasuk dirinya sendiri yang mendorong pelajar melalui latihan - latihan dan pokok permasalahan.

IMPLIKASI MODEL PENGAJARAN FASILITATIF TERHADAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Implikasi Model Pengajaran Fasilitatif dalam P&P


Menurut ringkasan penulis buku Murid dan Alam Belajar (2009), Choong Lean Keow (PhD.), kumpulan model personal ini berpegang kepada unsur keperibadian individu. Oleh yang demikian, model ini cuba membentuk pendidikan agar membolehkan kita lebih memahami diri kita, bertanggungjawab atas pendidikan kita dan seterusnya mencapai tahap perkembangan yang lebih jauh melebihi tahap maksimum kearah kualiti hidup yang tinggi. Dengan kata lain, model ini menekankan perspektif bersifat individu serta menggalakkan sifat berdikari yang produktif demi peningkatan kesedaran kendiri dan tanggungjawab terhadap nasib masing-masing.

Berasaskan kaedah yang dipelopori oleh Carl Rogers yang berpusatkan murid, maka guru boleh mengaplikasikan kaedah ini dalam model personal untuk mengubahsuai persekitaran pembelajaran murid. Model ini berfokuskan kepada konsep kendiri dan harga diri; arah kendiri yang positif dan sifat berdikari; kreativiti dan sifat ingin tahu; dan perkembangan domain afektif dan emosi. Menurut Choong Lean Keow (PhD.) dalam buku Murid dan Alam Belajar (2009), pengubahsuaian persekitaran pembelajaran murid dapat dilakukan dengan meningkatkan kualiti peribadi serta perasaan murid dan mewujudkan satu suasana pembelajarn berasaskan komunikasi yang berkesan antara guru dengan murid dan sesama murid. Lantaran itu, guru boleh berpandukankepada teknik-teknik bukan mengarah semasa membimbing murid, menggunakan synectics untuk meningkatkan kreativiti mereka, dan perjumpaan kelas bagi membina pembelajaran komuniti.

Mengikut rujukan dari buku Murid dan Alam Belajar (2009) yang dikarang oleh Boon Poon Ying, Noriati dan Syarifah Fakhiriah Syed Ahmad ;dalam mengaplikasi model personal, guru perlu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang boleh membangkitkan semangat murid untuk belajar. Ini bertujuan supaya individu dapat membentuk kesedaran diri dan identiti sejak dari awal lagi. Model ini cuba menerapkan pendidikan dalam jiwa murid supaya murid dapat memahami diri sendiri dengan lebih baik, bertanggungjawab terhadap pendidikan dan belajar ke arah pencapaian yang lebih optimum daripada kini. Langkah ini boleh tercapai dengan meningkatkan kualiti peribadi serta perasaan mereka dan mewujudkan satu suasana pengajaran dan pembelajaran berasaskan komunikasi yang berkesan sesama kita. Lantara itu, guru boleh berpandukan kepada teknik-teknik bukan mengarah semasa membimbing mereka sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung untuk membolehkan mereka berdikari dan mencungkil kreativiti.

Guru juga mempunyai tugas untuk membentuk serta menggabungkan aspek intelek dengan emosi demi melahirkan suatu personaliti seimbang. Penekanan bukan sahaja diberikan kepada kecerdasan intelek, tetapi murid juga dididik untuk mempunyai kecerdasan emosi yang stabil. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Roger, pertemuan dengan murid harus wujud suatu persekitaran yang penuh denga kasih sayang, keyakinan, empati dan saling memahami. Guru akan membantu pelajar memahami bagaimana menghadapi tugasan serta bagaimana menuju ke arah peyempurnaan kendiri. Model personal menekankan individu sebagai insan yang unik dan cabaran untuk membentuk personaliti yang berintegrasi, penuh keyakinan dan kompeten. Matlamat ini adalah untuk membantu setiap murid untuk bertanggungjawab terhadap perkembangan diri dan berjaya mencapai penghargaan diri serta keharmonian kendiri.

Selain itu, guru juga perlu menyediakan suatu iklim sosial yang mengizinkan pelajar meluahkan perasaan dan bebas untuk mengekspresi perasan. Contohnya, guru memperuntukan masa selama lima minit untuk mengetahui kesediaan murid sebelum memasuki sesi pengajaran dan pembelajaran pada hari itu. Di sinilah murid perlu diberi peluang untuk meluahkan perasaan sama ada secara induvidu atau secara kumpulan. Proses ini bermula dengan guru membantu murid memperjelaskan masalah mereka. Kemudian, murid dibantu ke arah bertanggungjawab terhadap perubahan tingkah laku untuk menyelesaikan masalah oleh guru. Guru juga akan membantu pelajar mencuba dan membuat refleksi terhadap keputusan yang dibuat. Selepas meluahkan masalah yang dialami, murid akan merasa lega dan dapat memberikan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran hari itu. Kesan pengajaran amat bergantung kepada kejayaan pemupukan perkembangan diri pelajar. Dalam penggunaan model personal, kandungan dan aktiviti tidak dipreskripsi, tetapi ditentukan oleh pelajar apabila bertemu dan berinteraksi dengan guru.

Mengikut teori Carl Rogers, suasana kelas yang kondusif dan selesa juga perlu disediakan untuk mengaplikasikan model personal ini. Suasana kelas memainkan peranan besar untuk membolehkan murid berada dalam keadaan selesa semasa mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Ketidakselesaan murid di dalam kelas menyebabkan mereka emosi mereka terganggu dan hilang tumpuan ketika guru mengajar ataupun juga sewaktu menjalankan sesi amali. Seterusnya, ia akan menyebabkan peratus semangat murid terhadap sesi pembelajaran akan berkurangan. Peralatan yang digunakan oleh guru sebagai bahan bantu mengajar mestilah lengkap supaya sesi pengajaran pada hari itu berjalan dengan lancar. Dalam model personal yang dipelopori oleh Carl Rogers ini lebih mementingkan guru sebagai fasilitator. Oleh itu, murid sendiri yang perlu mencari bahan-bahan rujukan dan guru akan menyediakan bahan sokongan untuk membantu murid.

ANALISIS SWOT MODEL PENGAJARAN FASILITATIF

Setiap model pengajaran mempunyai kekuatan dan kelemahan serta ancaman dan peluangnya yang tersendiri. Model Pengajaran Fasilitatif juga tidak lari daripada ciri-ciri ini. Penulis sendiri telah mengkaji model ini sebagai satu langkah untuk memahami perihal model ini dengan lebih mendalam lagi. Penulis akan menerangkan kekuatan, kelemahan, ancaman dan juga peluang bagi model ini.


KEKUATAN

Berkata tentang kekuatan model ini, antaranya model ini memperlihatkan pakatan antara guru dan murid. Hal ini dapat dilihat apabila guru memainkan peranannya sebagai kaunselor. Secara tidak langsung masa interaksi antara guru dan murid akan lebih banyak berlaku. Situasi ini akan menggalakkan hubungan yang lebih erat dan rapat antara guru dan murid selain guru itu akan lebih cakna terhadap potensi muridnya sendiri.

Selain itu, model ini juga mempunyai kekuatan apabila guru memainkan peranan untuk membimbing murid ke arah memahami bagaimana murid boleh memainkan peranan utama dalam pembelajaran mereka. Melalui kekuatan ini, murid akan lebih bersemangat untuk memajukan diri dalam pembelajaran mereka selain berusaha untuk memperoleh pencapaian yang cemerlang.

Model ini juga menekankan perlunya bimbingan guru terhadap murid ke arah pembentukan perasaan empati terhadap orang lain dalam persekitaran pembelajaran. Melalui penekanan ini, murid akan dapat melihat dan memahami perasaan orang lain dan lebih peka terhadap emosi individu di sekeliling khususnya rakan-rakannya. Sebagai contoh, ketika murid melibatkan diri dalam aktiviti berkumpulan yang memerlukan perbincangan, murid akan lebih bersedia untuk menerima pendapat orang lain dan risiko untuk wujudnya sikap egosentrik dalam diri murid dapat dibendung.

Murid juga akan lebih memahami bagaimana untuk menerima teguran serta mengakui kelemahan dan kesilapan yang dilakukan tanpa menyalahkan individu lain. Selain itu, murid juga akan lebih memahami perluanya kerjasama dalam sesuatu aktiviti berkumpulan kerana aktiviti sebegini melibatkan interaksi dan emosi orang rakan-rakannya. Murid juga akan lebih memahami perasaan rakan-rakannya sekiranya gagal untuk menjawab soalan tanpa memperlekehkan atau mengejek rakannya itu.

KELEMAHAN

Model Pengajaran Fasilitatif terdiri daripada pendekatan yang hanya untuk membentuk dan menyepadukan aspek emosi serta intelek dalam melahirkan personaliti yang seimbang. Melalui pendekatan yang digunakan ini, didapati model ini tidak menitik beratkan aspek jasmani, dan rohani. Jika ada sekalipun, mungkin hanya secara tidak langsung walhal aspek-aspek ini merupakan elemen yang juga penting bagi melahirkan individu yang seimbang selain emosi dan intelek. Tambahan pula, murid pada zaman sekarang sememangnya digalakkan menguasai JERI kerana ia merupakan tuntutan pada zaman modenasi kini. Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan sendiri telah menggariskan matlamatnya untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Dari segi P&P yang berlaku juga akan terdapat sedikit kelemahan. Hal ini kerana, guru akan terbatas untuk melaksanakan aktiviti P&P kerana menurut model ini, guru hanya perlu menekankan aspek intelek dan emosi sahaja. Oleh itu, P&P akan menjadi kurang menarik dan membosankan. Hal ini kerana apabila guru seringkali menerapkan kecerdasan pelbagai seperti visual spatial. kinestatik yang lebih kepada aspek jasmani, kerohanian yang memperlihatkan aspek rohani, yang merupakan elemen kemahiran bernilai tambah yang mampu menjadikan sesuatu P&P itu lebih menarik dan berkesan.

ANCAMAN

Dalam model ini, guru diperlihatkan sebagai individu yang sangat memainkan peranan besar sebagai kaunselor dalam aktiviti P&P. Merujuk kepada buku Siri Pendidikan Guru, guru mewujudkan pakatan dengan pelajar bertujuan untuk membimbing dan membantu mereka sepanjang penyelesaian tugasan dan masalah. Risiko yang dapat dikesan ialah, sekiranya murid sudah terbiasa dengan bimbingan yang berlebihan sepanjang melaksanakan tugasan, murid akan berasa hilang arah dan panduan sekiranya guru membiarkan mereka untuk melakukan tugasan pada sesuatu masa. Tidak dapat dinafikan bahawa,pendekatan belajar bersama guru sangat bagus bagi membimbing murid. Akan tetapi, jika terlalu dibimbing sifat kebergantungan murid kepada guru akan berlebihan. Ini akan membawa kepada beberapa impak negatif seperti akan membantutkan proses pengajaran dan pembelajaran murid.

Dalam penggunaan model personal, kandungan dan aktiviti tidak dipreskripsi, tetapi ditentukan oleh pelajar apabila bertemu dan berinteraksi dengan guru. Maka model non-directive ini bergantung pada faktor semulajadi dan bukan ditentukan oleh kesan pengajaran. Kesan pengajaran amat bergantung pada kejayaan pemupukan perkembangan diri pelajar. Oleh itu, guru perlu menyediakan suatu iklim sosial yang mengizinkan pelajar meluahkan perasaan dan bebas untuk mengekspresi perasaan. Di sinilah pelajar perlu diberikan peluang untuk meluahkan perasaan dalam perbincangan individu atau kumpulan. Selain itu, implikasi apabila menggunakan teknik atau model Synectics dalam pengajaran ialah murid-murid akan perlu mengikuti satu siri bengkel sehingga mereka berupaya untuk mengaplikasi prosedur-prosedur tertentu secara individu dan kumpulan koperatif.

PELUANG

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa, model pengajaran personal ini sangat membantu murid untuk memantapkan kemahiran interaksi sesama mereka. Hal ini kerana, banyak model yang lebih bertumpu pada kemahiran kognitif atau fizikal sahaja, maka sedikit sebanyak kemahiran interaksi ini telah diabaikan. Melalui model pengajaran ini, murid dapat berinteraksi dengan lebih terbuka. Ini akan membantu murid mencambahkan pengetahuan mereka secara tersusun iaitu melalui perkataan. Ramai murid sekarang yang hanya bijak di atas kertas sahaja. Mereka sangat bertumpu pada teori sesuatu subjek itu sahaja. Hatta, ada juga murid yang aktif di padang tetapi tidak dapat berkomunikasi dengan sempurna. Maka, model pengajaran personal ini sebenarnya telah membuka peluang kepada setiap individu murid untuk mengubah cara mereka.

Disamping itu, melalui model pengajaran personal ini murid sebenarnya berpeluang untuk meneroka bagi meningkatkan kemampuan diri sendiri. Murid dapat menentukan cara pembelajaran mereka sendiri. Model personal dalam pengajaran dan pembelajaran sangat menekankan individu sebagai insan yang unik maka seorang guru akan dicabar untuk membentuk personaliti murid yang berintegrasi, penuh keyakinan, dan kompeten. Matlamat ini adalah untuk membantu setiap pelajar bertanggungjawab terhadap perkembangan diri dan berjaya mencapai penghargaan diri serta keharmonian kendiri. Maka, adalah penting untuk guru membentuk serta menggabungkan aspek intelek dengan emosi demi melahirkan suatu personaliti yang seimbang.